Kerjaya Tom Kibble

Kibble mengkaji mekanisme pecahan simetri, peralihan fasa, dan kecacatan topologi (ekakutub, tetali kosmik atau dinding domain) yang dapat dibentuk.

Dia paling dikenali di atas penemuan mekanisme Higgs dan boson Higgs bersama Gerald Guralnik dan C. R. Hagen .[10][11][12] Sempena sambutan ulangtahun ke-50 Physical Review Letters (PRL), jurnal ini mengiktiraf makalah penemuan ini sebagai salah satu makalah penting dalam sejarah PRL.[13] Untuk penemuan ini, Kibble dianugerahkan Hadiah J.J. Sakurai untuk Fizik Zarah Teori di bawah Persatuan Fizikal Amerika.[14] Walaupun Guralnik, Hagen, dan Kibble dianggap oleh ramai orang, telah menulis makalah awal paling lengkap berkenaan teori Higgs, namun kontroversinya mereka tidak dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik 2013.[15][16][17][18][19][20][21][22] Pada 2014, Penerima Hadiah Nobel Peter Higgs menyatakan kekecewaannya ke atas pengguguran Kibble daripada berkongsi Hadiah Nobel tersebut bersama François Englert dan dirinya sendiri.[23]

Kibble mempelopori kajian berkaitan generasi kecacatan topologi di alam semesta awal.[24] Mekanisme lazim bagi pembentukan kecacatan merentasi peralihan fasa tertib kedua dikenali sebagai mekanisme Kibble-Zurek. Makalahnya mengenai tetali kosmik memperkenalkan fenomena tersebut ke dalam kosmologi moden.[25]

Dia adalah salah seorang daripada dua orang ketua bersama bagi sebuah program penyelidikan antara disiplin yang mengkaji Kosmologi serta dibiayai oleh Yayasan Sains Eropah (ESF) di Makmal (COSLAB), berlangsungan dari 2001 hingga 2005. Dia pernah memegang jawatan penyelaras Jaringan ESF dalam kajian mengenai Kecacatan Topologi dalam Fizik Zarah, Jirim Termeluwap & Kosmologi (TOPDEF). [9]

Penghargaan dan penghormatan

Kibble terpilih sebagai seorang Felo di Royal Society (FRS) 1980,[1][26] di Institut Fizik (1991), dan di Imperial College London (2009). Dia juga adalah ahli Persatuan Fizikal Amerika (1958), Persatuan Fizikal Eropah (1975) dan Academia Europaea (2000).[9] Pada 2008, Kibble dinobatkan sebagai Outstanding Referee oleh Persatuan Fizikal Amerika.[4][27]

Selain dianugerahkan Hadiah Sakurai, Kibble juga dianugerahkan Pingat Hughes (1981) dari Royal Society, Pingat Rutherford (1984) dan Pingat Guthrie (1993) dari Institut Fizik,[9] Pingat Dirac (2013),[28] Pingat Albert Einstein (2014)[29] dan Pingat Diraja Royal Society Edinburgh (2014).[30] Dia dianugerahkan gelaran CBE pada Hari Penghormatan Keputeraan Ratu 1998 dan dikurniakan anugerah kesatriaan ketika di Majlis Penghormatan Keputeraan Ratu 2014 atas sumbangannya kepada fizik.[31]

Selepas kematiannya, Kibble dianugerahi Pingat Isaac Newton oleh Institut Fizik atas komitmen sepanjang hayatnya yang luar biasa terhadap fizik.[32]